Wednesday, January 27, 2010

Rozita Che Wan jadi mangsa gosip

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 06/09/2009

Rozita Che Wan jadi mangsa gosip




PERCAYA atau tidak lebih dua tahun saya menunggu jawapan untuk mengaturkan sesi fotografi dengan jelitawan bernama Rozita Che Wan ini. Setiap SMS yang saya kirim dibalas oleh Rozita dengan tiga jawapan iaitu sibuk, ada penggambaran dan berada di luar kawasan.

Sehinggalah saya mengatakan kalau susah sangat tak payahlah diberi publisiti. Bukan kita tak nak tapi dia yang sibuk. Tapi dua minggu lalu Rozita menghantar SMS mengatakan dia ada masa untuk tujuan itu. Ya, selepas dua tahun. Kenapa agaknya?

Saya memahami sebelum ini banyak sangat cerita sensasi dikaitkan dengan anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini. Dikatakan merampas suami orang, ada hubungan dengan VIP dan macam-macam lagi. Malah dia juga pernah dikatakan menerima hadiah kereta mewah daripada Datuk K sebelum ini.

Dek kerana terlalu banyak andaian sedemikian membuatkan Rozita takut untuk muncul di mana-mana akhbar atau majalah berkaitan hiburan. Ibu kepada dua orang anak ini pernah memberitahu saya, kalau terlalu banyak cerita mengenai skandal yang tidak betul ditonjolkan, ia memberikan persepsi negatif terhadapnya.

Kerana cerita-cerita itulah dia mendapat panggilan yang bukan-bukan daripada wanita-wanita yang menuduh dia cuba merampas suami mereka. Dalam masa yang sama tidak terkecuali mak datin mak datin yang menganggap Rozita cuba merosakkan rumah tangga mereka.

Tetapi semua itu adalah tuduhan yang tidak betul. Hasilnya kata Rozita, wanita-wanita yang menuduh dia mempunyai hubungan dengan suami mereka itu akhirnya akur suami mereka berkahwin dengan orang lain. Dia yang menjadi mangsa.

Itulah susahnya bergelar ibu tunggal. Cabarannya bukan sedikit apatah lagi bagi wanita ini yang dikurniakan kecantikan luar biasa ini. Rozita mengakui dia seringkali menjadi mangsa.

Malah dia terfikir mungkin adakah segelintir golongan VIP yang sengaja menggunakan namanya untuk menutup kecurangan mereka terhadap isteri masing-masing?

“Saya bingung. Bila ada VIP nak kahwin, nama saya dikaitkan. Bila ada mak datin bising-bising, saya juga yang dituduh mengganggu rumah tangga mereka. Kenapa jadi macam tu?” soalnya kesal.

Bagaimanapun semua yang berlaku itu bagi Rozita mempunyai hikmah tersirat kerana ia membuatkan dia menjadi lebih kuat dan tenang menempuh dugaan.

*Mengerjakan umrah

Ketika artikel ini ditulis pada Rabu lalu, Rozita sedang berada di Mekah kerana mengerjakan umrah. Dia berangkat pada 29 Ogos lalu dan dijangka pulang pada 15 September ini. Pemergiannya ke Tanah Suci merupakan kali kedua. Kali pertama dia menjejakkan kaki ke bumi para ambia itu enam tahun lalu.

Bersyukur dengan rezeki yang datang melimpah ruah, Rozita sebenarnya ingin merasai nikmat berpuasa dan mengerjakan ibadat di Mekah pada bulan Ramadan.

Ditemani ibu tersayang, harapan wanita yang suka disapa dengan panggilan Ita ini ialah satu supaya dia mendapat rahmat dan ketenangan ketika beribadat.

“Saya selalu mendengar cerita keseronokan menyambut Ramadan di Tanah Suci dan memang bercita-cita untuk meraikannya pada bulan mulia ini. Syukurlah saya dapat menunaikannya juga bersama ibu tersayang,” katanya yang akan pulang lima hari sebelum menyambut Aidilfitri. Kehadiran Syawal yang bakal menjelang sememangnya memberi makna bernilai buatnya. Setiap kali hadirnya Syawal, Rozita akan pastikan dia dapat pulang beraya di kampung. Setahun sekali pulang, tentulah masa yang terluang itu digunakan sepenuhnya untuk bersama orang tersayang.

Istimewanya setiap kali Syawal, Rozita akan sibuk di dapur berbanding adik beradiknya yang lain, seramai enam orang itu.

Katanya, pada hari raya pertama dia akan memasak untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang. Tahun ini sudah ditetapkan menu nasi tomato sebagai hidangan pembuka selera di pagi Syawal.

Selain keseronokan menjamu selera, meriahnya sambutan Syawal bagi keluarga ini ialah mereka dapat berkumpul bersama. Bayangkan ramai atau tidak adik beradik Rozita yang kesemuanya kira-kira 20 orang hasil perkongsian hidup bapanya dengan empat orang isteri.

Bersyukur hubungan mereka sesama beradik walaupun berlainan ibu itu baik tanpa ada sebarang masalah.

Malah bagaikan tradisi, mereka akan melawat di antara satu dengan lain setiap kali hadirnya bulan Syawal itu. Selain berkumpul sesama sanak saudara, pada hari raya ketiga Rozita bersama adik beradiknya akan mengadakan rumah terbuka di Taman PKNK, Alor Setar.

Biasanya tiga buah khemah dipasang manakala hidangan untuk menjamu selera pula lebih senang ditempah. Seharian selepas penat melayan tetamu dan peminat, Rozita bersama ahli keluarganya akan bercuti di Langkawi untuk mencari kegembiraan.

“Selalunya keluarga kami memang macam tu. Dah penat melayan tetamu di rumah, kita orang akan pergi bercuti ramai-ramai. Jangan kata kami lari dari rumah sebab tak mahu orang datang ke rumah pula ya?” katanya berseloroh.

*Ya! Memang sibuk

Ketika diajukan pertanyaan sejauh manakah sibuknya dia, katanya paling lama dalam satu bulan dia hanya mempunyai cuti kira-kira empat hari. Lain-lain waktu dipenuhi dengan penggambaran drama atau filem.

Malah dia mengakui tidak punyai banyak masa untuk lepak-lepak seperti kebanyakan orang. Menginjak usia 36 tahun memang Rozita sudah rasa penat menjadi seorang pelakon tetapi hakikatnya dia perlu bekerja untuk menyara dua anak lelakinya iaitu Ammar Effandy, 13, dan Aniq Ezzra, 11, yang sedang meningkat remaja. Sebab itulah masanya tidak pernah cukup untuk aktiviti lain.

Tapi sayang, penat bekerja untuk mencari pendapatan keluarga, lain pula cerita yang keluar apabila ada suara-suara sumbang yang mengaitkan dia dengan si polan dan si polan.

*Semuanya rezeki

Bukan apa, kesenangan yang dikecapi Rozita hari ini apabila memiliki kereta mewah dan juga menggajikan seorang pemandu memperlihatkan seolah-olah ada orang yang menaja.

Yalah, ramai yang menganggap hidup sebagai pelakon banyak mana rezekinya? Masakan boleh hidup mewah sebegitu rupa?

Tetapi orang tak tahu untuk mendapat kesenangan seperti itu dia bukan duduk goyang kaki. Rozita bekerja keras siang dan malam. Terus terang wanita ini menjelaskan yang dia selama ini bekerja kuat.

Pukul lima pagi baru balik rumah selepas selesai penggambaran. Semuanya itu untuk siapa kalau bukan anak-anak dan keluarga.

Soal pemandu pula dia wajar menggajikan seseorang kerana kesibukan waktu dapat diaturkan dengan sempurna agar suasana pekerjaan menjadi lebih mudah dan teratur.

Hendak ke lokasi ada orang ambil, balik pula ada orang jemput. Begitu juga ketika hendak menghantar anak ke sekolah. Semuanya ada orang uruskan. Tidak ada masalah lagi.

“Sejak tiga tahun ini syukurlah rezeki saya tak putus-putus. Banyak benda yang saya lakukan tetapi semua itu orang tak tahu sebaliknya hanya mahu melemparkan tuduhan.

“Kalau ada VIP yang menaja, buat apa saya perlu kerja keras. Tiga bulan tak kerja pun tak ada. Kemewahan saya hari ini adalah hasil usaha saya. Ia rezeki anak-anak saya,” jelasnya.

*Tak mungkin bercinta dengan orang muda

Sebelum ini heboh kononnya Rozita bercinta dengan pemain bola sepak Mohd. Asrarudin Putera Omar yang berusia 21 tahun. Mereka dilihat keluar bersama ditemani oleh adik Rozita sendiri iaitu Ayu Raudhah yang hangat bercinta dengan Zaquan Adha Abd. Radzak. Tidak menafikan berkawan rapat tetapi jauh di sudut hatinya untuk menjalinkan cinta dengan lelaki 15 tahun lebih muda daripadanya itu.

Gara-gara gosip berkenaan, Rozita sudah fobia untuk keluar bersama lelaki itu lagi kerana bimbang akan disalahtafsirkan.

“Saya keluar pun ramai-ramai. Saya suka temankan adik saya si Ayu Raudhah saja. Tak sangka pula ia menjadi cerita hangat dan sensasi kononnya saya bercinta dengan pemain bola sepak itu,” ujarnya.

*Memang nak kahwin

Usia semakin meningkat sampai bila hendak berlakon? Itu ayat yang keluar apabila persoalan tentang kerjayanya menjadi topik perbualan.

Dek kerana itulah si cantik ini bercita-cita untuk mengusahakan butiknya sendiri suatu hari nanti selain mengasah semula kebolehannya menjahit pakaian terutamanya baju kurung pesak.

Tidak dinafikan ketika berada seorang diri, dia terfikir juga apabila anak-anaknya sudah dewasa dan masing-masing berumah tangga, apa akan jadi pada dirinya?

Tentulah dia memerlukan seseorang untuk menjadi pengubat rindu dan tempat bermanja. Tapi sayang, sekarang ini Rozita agak was-was dengan lelaki kerana menganggap tidak semua mereka itu ikhlas dalam sesebuah perhubungan.

Sebab itulah dia tidak pernah kisah soal untuk berumahtangga melainkan dia benar- benar bertemu dengan mereka yang ikhlas untuk mengambilnya sebagai seorang isteri.

“Memang terfikir juga nak kahwin tapi hari ini susah nak jumpa lelaki yang betul-betul ikhlas. Tapi tak apalah, saya percaya kepada rezeki. Kalau ada tu, adalah,” katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment