Wednesday, January 27, 2010

Suka melawa

Suka melawa


Rozita Che Wan

Kelihatan cantik dan kemas adalah kepuasan bagi Rozita Che Wan

NAMA Rozita Che Wan berada dalam senarai calon akhir atau Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (2009) bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular. Kejayaan ini dapat mengubati kehampaan pada tahun lalu apabila namanya tercicir dari kategori yang sama.

Biarpun akur bukan mudah untuk menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular, namun jauh di sudut hatinya, Rozita tidak menafikan mempunyai harapan yang tinggi untuk memenangi kategori itu.

Namun, dia bersikap terbuka dengan nama lain yang turut tersenarai dalam Top 5 Pelakon TV Wanita Popular untuk edisi ABPBH2009 iaitu Fasha Sandha, Noorkhiriah, Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.

“Saya pernah tersenarai dalam kategori itu pada 2007 dan bersaing dengan Dynas, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Eja. Tapi rezeki ternyata berpihak kepada Dynas. Pada tahun 2008, nama saya tercicir tapi saya masih diberi peluang oleh Berita Harian untuk menjadi penyampai trofi di samping Ayu Raudhah, Saida dan Sairah.

“Alhamdulillah pada tahun ini nama saya tercalon lagi dalam senarai Top 5. Saya pun tak sangka akan tersenarai lagi. Melihat kepada calon yang bertanding menyaksikan saingan artis baru dan senior. Tapi sesiapapun yang berada di tempat saya, pasti nak menang biarpun harapan terlalu tipis.

Rozita Che Wan

“Pada akhirnya semua bergantung kepada pemilihan peminat yang tidak boleh dijangka. Selain Scha yang popular dengan drama Awan Dania, Tiz Zaqyah pun cukup diingati dengan drama Nur Kasih. Saya hanya mampu mengharapkan yang terbaik saja,” katanya yang sedang menyiapkan baki penggambaran drama 26 episod, Cikgu Kermisah Kerbi arahan Raja Ahmad Alauddin.

Dalam pada itu, Rozita turut ditanya mengenai sikapnya yang terlalu mementingkan gaya di depan khalayak. Harus dipuji, Rozita tidak seperti sesetengah mereka yang bergelar selebriti yang selalu mengambil mudah dalam soal bergaya dan tak pernah kalah dalam soal itu.

Pernah diusik antara pelakon yang gemar memakai bulu mata tebal, ibu kepada dua anak ini sebenarnya menunjukkan contoh yang baik bahawa apabila bergelar artis setiap sudut pasti akan dipandang dan menjadi perhatian masyarakat seperti mana kisah kontroversi yang melingkarinya.

“Ya, betul saya memang suka melawa dan semuanya dilakukan atas kepuasan diri sendiri. Sebelum bergelar artis pun, saya akan menjaga penampilan bila keluar rumah.

“Kini apa yang saya lakukan bukan nak menunjuk-nunjuk saya ini sudah jadi artis, tapi ia lebih kepada keselesaan saya membawa diri,” katanya.



Sudah berpunya?

-----------------

SEPERTI wanita lain tidak kira berstatus bujang atau janda, Rozita juga mengharapkan akan ada sinar kebahagiaan dalam sisi hidupnya pada masa mendatang. Wanita secantiknya yang menggalas gelaran ibu tunggal kepada dua orang anak juga berhak untuk merasa kemanisan hidup berteman.

Namun, bunyinya macam berbohong apabila pelakon ini menegaskan dia belum ada ‘siapa-siapa’ dalam hidupnya ketika ini. Malah semakin menafikan mengenai soal peribadinya, banyak pula gosip dan kontroversi yang melatari sisi dirinya.

Gosip dikaitkan dengan lelaki dan golongan VIP antara sudah sinonim dengan pelakon kelahiran Alor Star, Kedah ini. Malahan, baru-baru ini timbul lagi desas desus kononnya dia akan menamatkan zaman solonya dengan seorang tokoh korporat.

“Mungkin juga mereka yang cakap macam ini sebenarnya nak lihat saya kahwin lagi dan paling penting, saya tahu semuanya tak sabar menunggu siapa pasangan yang bakal bergelar suami saya kelak. Ikutkan gosip nak kahwin itu sudah mula bertebaran sejak tahun lalu. Tahun ini, datang lagi gosip yang sama.

“Tapi apa yang saya boleh katakan, saya memang ada berkawan dengan seseorang dan sedang mengenali. Kenalan baru dan semuanya masih terlalu awal untuk dibicara lanjut. Saya tak rasa pun dia akan jadi suami saya. Tapi soal hati ini susah nak cakap. Hari ini cakap lain, esok boleh tukar jadi lain pula.

“Saya tidak mahu terburu-buru. Siapa yang tak mahu kahwin. Saya pun bukan muda. Nak kenal warna sebenar lelaki yang sesuai dengan kita bukannya dalam sepantas kilat. Mungkin ambil masa tujuh ke lapan bulan,” katanya yang pernah dikaitkan menjalinkan hubungan pemain bola sepak Selangor, Mohd Asrarudin Putra Omar.

Apapun, Rozita menaruh harapan besar supaya cerita gosip ini ada kesudahannya. Mujurlah ketika ini, keluarga dan paling kedua-dua anaknya iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra amat memahami keadaan yang dihadapinya.

“Anak saya tak pernah tanya soal kahwin, tapi kalau tanya pun semuanya mengenai gosip yang membabitkan saya. Tahun 2009 meninggalkan banyak kenangan yang tak indah. Selepas pergi umrah Ogos lalu pun, saya masih tetap diuji dengan kontroversi bukan-bukan.

“Insya-Allah tahun ini saya mahu mengerjakan umrah lagi kerana saya ingin merasai ketenangan berada di Tanah Suci Makkah. Harapnya kerjaya dan rezeki saya akan terus murah dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN 27/1/2010

No comments:

Post a Comment